Thursday, 25 August 2011

USM KINI PUSAT LATIHAN BERTAULIAH PERISIAN LINUX DI MALAYSIA

Tuesday, 05 July 2011 02:30
usmippt
TERBAIK... Sebahagian rakaman foto Majlis Perasmian Persidangan Perisian Sumber Terbuka Malaysia (MOSC) di Bayview Beach Resort, Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
PULAU PINANG, 4 JULAI 2011: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila dilantik sebagai satu-satunya pusat latihan bertauliah untuk perisian Linux di Malaysia yang berorientasikan kepada konsep perisian sumber terbuka.
USM, menerusi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), kini menawarkan tiga program persijilan kepakaran iaitu bagi kursus Junior Level Linux Professional (LPIC-1), Advanced Level Linux Professional (LPIC-2) dan Senior Level Linux Professional (LPIC-3) bagi pihak Linux Professional Institute yang berpusat di New Brunswick, Kanada.
Prof.Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM berkata lantikan ini akan mengukuhkan lagi keupayaan USM di dalam menawarkan khidmat kepada masyarakat terutama di dalam membangunkan sektor teknologi komunikasi yang berasaskan kepada perisian sumber terbuka.
“Sumber terbuka bermakna sesiapa sahaja boleh dan berhak untuk mendapat akses kepada teknologi tersebut tanpa terikat kepada mereka yang mampu sahaja dan tidak langsung berlandaskan kepada komoditi.
“Ia juga bermakna kita boleh berkongsi apa sahaja teknologi yang kita bangunkan untuk rakyat dan setiap orang mempunyai hak yang sama untuk memanafaatkan teknologi berkenaan,” kata beliau.
Terdahulu sebelum itu, beliau menandatangani perjanjian rakan kongsi akademik dengan Linux Professional Institute (LPI) selepas merasmikan Persidangan Perisian Sumber Terbuka Malaysia (MOSC) di Bayview Beach Resort, Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
LPI diwakili oleh Jim Lacey, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Christy Chang, Master Affiliate Asia Pacific LPI.
Sehingga kini, Linux Professional Institute mempunyai lebih daripada 150 rakan kongsi yang melatih tenaga pakar Linux di serata dunia dan mengeluarkan 95,000 pensijilan kepakaran bagi perisian berkenaan.
Seramai lebih 250 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, wakil-wakil agensi kerajaan, jurutera perisian komputer, wakil-wakil industri serta pengamal perisian sumber terbuka hadir ke MOSC 2011 yang menyediakan ruang perkongsian berhubung teknologi terkini perisian sumber terbuka khususnya di Malaysia.
Tutut hadir ke majlis berkenaan ialah Haris Fazillah Jamel, Presiden Open Source Developers Club Malaysia dan Dr. Haji Ramli Saad, Pengarah IPPT USM serta Adnan Hamid, Pengerusi MOSC 2011.

Articles from USM

No comments:

Post a Comment